MADRID 30 Jan. – Rodrigo menjadi sumber inspirasi kemenangan Valencia apabila meledak hatrik sekali gus membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Getafe agregat 3-2 yang terpaksa beraksi 10 pemain sekali gus mara ke separuh akhir Copa del Rey.
Turun dengan misi kemenangan selepas Valencia tewas 0-1 dalam aksi pertama dan kini harapan mereka untuk menjuarai Copa del Rey buat kali pertama sejak 11 tahun lalu kembali cerah.
Getafe terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi percubaan Jorge Molina sebelum Rodrigo menyamakan kedudukan pada minit ke-61 dan dua lagi jaringan pemain berusia 27 tahun itu hadir pada minit terakhir permainan.
Valencia akan bertemu sama ada Real Madrid atau Girona di peringkat separuh akhir.
“Kami menunjukkan karekter yang menakjubkan. Kami percaya kepada diri sendiri hingga tamat permainan sebab sokongan daripada peminat dan kami bermain dengan baik,” kata Rodrigo.
Perlawanan tersebut diheret hingga sembilan minit masa tambahan namun Rodrigo mengesahkan kemenangan berpihak kepada Valencia apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-92 dan minit ke-93.
“Malam yang menakjubkan untuk Valencia. Kami bangkit daripada ketinggalan di babak pertama dan menemui rentak permainan pada separuh masa kedua,” kata jurulatih Valencia, Marcelino. – AFP











