RM100, 000 bantu nelayan kecil di Kelantan - Utusan Malaysia

RM100, 000 bantu nelayan kecil di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 30 Jan. – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM100,000 untuk membantu nelayan khusus untuk meningkatkan hasil pendapatan pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nazri Ishak berkata,  bantuan itu sebahagian besarnya berbentuk pemberian alat menangkap ikan terutama terutama pukat yang sangat diperlukan oleh nelayan sungai atau pesisiran pantai.

Beliau berkata, bantuan yang akan salurkan membabitkan usaha mempromosikan hasil atau industri hiliran yang diusahakan dibawah program My Komuniti Perikanan (MyKP).

“Jumlah peruntukan kali ini hampir sama seperti yang diluluskan oleh kedua-dua kerajaan berkenaan bagi melaksanakan projek-projek yang berkaitan sepanjang tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Program Pengukuhan, Penerangan dan Mesyuarat Agung  My KP Kampung Tok Ajam, dekat sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau  dan Alam Sekitar negeri,  Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Nazri berkata, Jabatan Perikanan sedang berusaha memuktamadkan proses pemutihan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang membabitkan lebih 200 nelayan di negeri ini.

“Jabatan akan memastikan nelayan laut dan darat yang benar-benar layak  sahaja memperolehi bantuan itu tanpa mengira fahaman politik.

“Dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan memberhentikan elaun itu adalah tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Saripudin dalam ucapan perasmian menggesa golongan muda agar lebih berminat untuk menceburi industri pertanian yang terbuka luas dalam segenap bidang.

Menurutnya, kerajaan juga bersedia membantu nelayan yang sanggup  membabitkan diri dalam industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan hasil pertanian bagi pasaran dalam dan luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN