Risteena tidak lagi sembunyi - Utusan Malaysia

Risteena tidak lagi sembunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ada pihak membandingkan nasib percintaan Risteena Munim dengan adiknya, Ruhainies pasti dia akan tersenyum. Itu respons jujur daripada pelakon drama Playboy Itu Suami Aku setiap kali berdepan dengan situasi sebegitu.

Selama ini dia selesa untuk berahsia tentang peribadinya daripada pengetahuan ramai. Berat betul hatinya untuk berkongsi perihal berkenaan kepada umum.

Alasan utama, Risteena enggan meraih publisiti murahan. Khuatir juga jika ada pihak menuduhnya sengaja menjaja cerita peribadi berbanding kerjaya.

“Setiap manusia itu berbeza, kan? Jika Ruhainies terbuka dalam soal cinta, saya tidak. Bukannya apa, takut orang akan bertepuk tangan sebab cinta tak menjadi,” kata Risteena, 29.

Risteena bersama adik-beradiknya sewaktu bercuti ke London hujung
Risteena bersama adik-beradiknya sewaktu bercuti ke London hujung tahun lalu.

Begitu juga situasinya apabila timbul desas-desus yang mengatakan kononnya adiknya itu bakal menamatkan zaman bujang, pelakon drama Menjinak Ombak ini sekadar menahan perasaan.

Sebagai kakak, sedikit sebanyak perkara tersebut mendatangkan tekanan kepada dirinya sendiri. Tambahan pula selepas perkara itu sampai ke pengetahuan orang tua, sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya.

Malah ibu, Che Bunga Salleh turut menyatakan kebimbangan jika Ruhainies ‘melangkah bendul’. Nak tak nak, Risteena perlu berterus terang tentang gerangan kekasih hatinya.

Pandai sungguh Risteena menyembunyikan hubungan cintanya dengan
PANDAI sungguh Risteena menyembunyikan hubungan cintanya dengan lelaki ini. 

“Saya tidak pernah bercerita langsung dengan orang tua tentang perkara ini. Jadi proses membocorkan rahsia itu kepada mereka bukan satu perkara yang mudah, ia mengambil masa juga.

“Nasib baik keluarga restu. Ibu juga seboleh-bolehnya mahu saya berkahwin dahulu, baru Ruhainies. Jadi tak timbullah isu langkah bendul seperti mana dikatakan orang selama ini,” ujarnya.

Risteena kini menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Ikhwan Khairuddin selepas berkawan rapat enam tahun lalu. Mereka berkenalan selepas sama-sama membintangi drama Pilihan Rozana pada 2012.

Ikhwan yang pernah membintangi drama Ampunkan Dosaku sebelum ini bagaimanapun melupakan bidang lakonan untuk fokus dalam perniagaan beberapa tahun lalu.

Tetap laris

MENGUBAH topik kepada kerjaya, Risteena mengakui agak kurang menonjol dalam media. Ditambah dengan banyak kemunculan ramai pelakon baharu, dia bagai ‘ada di dalam tiada.’

Meskipun begitu, jadual seni pelakon filem Girlfriend Kontrak ini sentiasa diisi dengan tawaran berlakon drama dan filem sepanjang tahun.

Cuma wajah anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini tidak kelihatan di stesen televisyen swasta. Dia lebih banyak menjayakan naskhah untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Dalam soal rezeki mendatang ini, saya tak pernah memilih. Mana yang datang awal, saya terima. Walaupun orang kata tak glamor berlakon untuk RTM, saya tidak kisah pun,” katanya.

Terkini, Risteena sedang menjalani penggambaran telefilem Waiduri Di Sebalik Pintu sebelum menghabiskan baki penggambaran drama Pelangi Cinta Abu Dhabi.

Ziarah gelandangan

BARU-BARU ini, Risteena berpeluang untuk mengikuti kerja amal membantu gelandangan anjuran Media House Entertaiment (MHE) yang berlangsung di ibu kota.

Menyokong penuh segala aktiviti amal yang dianjurkan mana-mana pihak berkepentingan, pengalaman sebegitu juga menimbulkan perasaan syukur dalam diri Risteena.

“Sebenarnya ada banyak kisah di sebalik gelandangan, orang tidak berkemampuan dan golongan anak yatim yang tidak diketahui. Kita tak tahu apa yang mereka alami selama ini.

“Jika diberi peluang, saya berminat untuk menyiasat kehidupan mereka seharian.

“Di mana tempat tidur mereka dan apa aktiviti dilakukan. Sekurang-kurangnya boleh memberi keinsafan dalam diri,” katanya lagi.

Selain Risteena, penyanyi Safura Yaacob dan tiga finalis Gadis Panca 2018 (Puteri Ateeqah, Ainin Mielan dan Deena Shazlan) turut mengikuti program amal berkenaan.

Ejen edisi siasat

Selalu ke Risteena menyertai program amal sebegini?

Risteena: Sudah semestinya. Saya memang suka buat kerja amal kerana inilah cara mudah untuk saya mensyukuri nasib diri. Kalau kita rasa nasib kita teruk, ada lagi yang lebih teruk daripada kita. Atas dasar itu juga, saya bersama kelab peminat, Risteenators sentiasa meraikan golongan kurang bernasib baik dengan menganjurkan program amal. Sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan yang ditanggung.

Apa yang membuatkan awak begitu berminat untuk menyelami kehidupan insan gelandangan?

Risteena: Betul, saya teringin nak tahu tentang kehidupan mereka. Nak bongkar cerita mereka. Kalau malam mereka tidur di tepi jalan, bagaimana keadaannya pada waktu siang. Ke arah mana mereka pergi untuk mencari makan dan minum. Macam mana mereka basuh baju dan macam-macam lagilah. Kira saya teringin sangat menjadi ejen edisi siasat mendedahkan hal ini kepada umum. Realiti kisah di sebalik yang kita tahu selama ini.

Apa pandangan tentang usaha yang dibuat oleh pihak MHE ini. Kalau kita mahu jadikan aktiviti bulanan, minat nak ikut lagi?

Risteena: Oh bagus!Kalau ada peluang, saya bersedia untuk menerima tugasan ini dengan lapang hati. Walau­pun terpaksa berada dalam keadaan comot sekalipun, saya reda demi memenuhi rasa ingin tahu saya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN