KUALA LUMPUR 13 Jan. – Tindakan lima lelaki berlumba sambil meniru aksi Superman membawa padah apabila mereka ditahan di Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (Duke) hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kesemua mereka termasuk seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan.
Menurutnya, operasi yang bermula pada pukul 1.30 pagi diketuai oleh Asisten Superintenden Fuad Mahmod.
“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu sah, menunggang motosikal yang telah diubah suai dan menggunakan nombor plat fancy,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bersama motosikal masing-masing bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya. – UTUSAN ONLINE










