Rasuah dan tuntutan palsu: Dua disambung reman, seorang dibebaskan - Utusan Malaysia

Rasuah dan tuntutan palsu: Dua disambung reman, seorang dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Jan. – Tempoh reman dua individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu kira-kira RM1.8 juta.

Majistret Ahmad Afiq Hassan membenarkan permohonanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman kedua-dua suspek lelaki itu bermula esok sehingga 28 Januari ini.

Mahkamah Majistret turut membebaskan seorang lagi suspek wanita untuk kes berkenaan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,00 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pada pukul 9.15 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM dan tangan bergari.

Sebelum ini, ketiga-tiga suspek itu direman selama tiga hari bermula 23 Januari lalu dan berakhir hari ini, mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memaklumkan, ketiga-tiga suspek itu juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari manakala seorang lagi suspek iaitu pengarah syarikat berusia 51 tahun pula kira-kira sejam kemudian.

Seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun pula ditahan pada pukul 2 petang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN