Rancang wujud Perkampungan Perkim di setiap negeri - Utusan Malaysia

Rancang wujud Perkampungan Perkim di setiap negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 20 Jan. – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) merancang membuka penempatan khusus dinamakan Perkampungan Perkim di setiap negeri yang bakal dihuni pelbagai kaum beragama Islam di negara ini.

MOHD. YUSOF NOOR
MOHD. YUSOF NOOR 

Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr.  Mohd. Yusof Noor berkata,  penempatan yang dirancang di setiap negeri itu bagi meneruskan hasrat bekas pengasas Perkim yang juga Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
 
Katanyq, Perkampungan Perkim itu nanti dilengkapkan pelbagai kemudahan seperti pusat pendidikan, perniagaan, tempat ibadah dan kemudahan-kemudahan  lain yang perlu untuk membentuk  komuniti  yang harmoni dan sejahtera dalam masyarakat.
 
“Bagi menjayakan  hasrat itu, Perkim akan  berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan supaya kawasan yang sesuai dapat disediakan untuk menterjemah dan menghayati maksud bersatu antara kaum menerusi Perkim,” katanya.    
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkim Cawangan Besut kali ke-23 di  Bangunan Baitul  Ehsan di Jerteh dekat sini semalam.
 
Mohd. Yusof berkata, kriteria penyertaan Islam dari pelbagai kaum dijadikan sebagai elemen  penting ke arah membawa kesatuan selaras dengan usaha Perkim  menarik sokongan bukan Islam menyertai  pertubuhan itu atas dasar kebajikan.
 
Sementara itu  beliau berkata,   Perkim  berhasrat berbincang dengan kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri  bagi  tujuan  memanfaatkan  sumbangan derma  yang diterima daripada orang ramai  pada setiap Jumaat.
  
Beliau juga menggesa orang ramai mengikis tanggapan negatif terhadap Perkim kononnya mempunyai kepentingan politik hanya disebabkan diasaskan orang politik, sebaliknya  untuk kebajikan  dan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN