MELAKA 3 Jan. – Tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan sistem letak kenderaan berbayar kepada syarikat swasta bermula awal tahun ini ternyata tidak disenangi semua pihak.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyelar tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang mengenakan bayaran antara pakir RM1 hingga RM2.
Tegas beliau, bayaran yang dikenakan di 13 lokasi dalam Parlimen beliau termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dan DUN Klebang adalah hadiah tahun baharu yang paling kejam.
“Apa yang dilakukan MBMB tidak bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu membantu meringankan beban rakyat, lebih-lebih lagi kerajaan Melaka telah mengumumkan letak kenderaan percuma pada Sabtu dan Ahad sejak tahun lalu.
“Ramai penduduk yang membantah dan marah, jadi kita harap MBMB dapat menarik balik keputusan itu kerana menyusahkan pengguna dan penduduk,” katanya.
Beliau ditemui selepas melawat tempat penswastaan kemudahan letak kenderaan itu di Taman Puncak Bertam di sini hari ini.
Tambah Poay Tiong, keputusan berkenaan dibuat tanpa sebarang kajian terperinci dan dipercayai membabitkan 13 syarikat swasta yang mana mereka ini dikenakan kadar bayaran RM800 hingga RM 1,000 sebulan oleh MBMB.
Menurut beliau, wakil-wakil rakyat kawasan juga tidak dimaklumkan atau diajak berunding malah hanya mengetahui isu itu selepas ia tular dalam media sosial.
“Saya telah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut terkejut dengan isu ini dan harap ada langkah penyelesaian terbaik kerana ia telah membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










