Raja Muda promosi masakan Perlis di Thailand - Utusan Malaysia

Raja Muda promosi masakan Perlis di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANONG 15 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Masjid Ubudiah, Pulau Sing Hai, yang dihuni oleh seramai 1,800 orang penduduk Muslim majoritinya boleh berbahasa Melayu yang terletak di Wilayah Ranong iaitu di sempadan negara Thailand dan Myanmar baru-baru ini.


Promosi tersebut ialah sebahagian daripada program sampingan mengambil sempena kunjungan ‘Ziarah Mahabbah Tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke 6 Wilayah Andaman, Thailand’ ke masjid tersebut.


MAiPs mendapat kerjasama daripada Restoran Shamiza Kg. Gial Perlis bagi menyediakan menu istimewa yang disajikan termasuklah kurma daging, masak lemak udang dan belimbing, gulai tulang dan rebung, ayam masak merah dan juga pekasam untuk seramai 500 masyarakat setempat yang hadir.


Keberangkatan tiba baginda berdua ke program ‘Ramah Mesra Bersama Masyarakat’ di masjid itu disambut oleh Gabenor Wilayah Ranong, Chatupot Piyamputradan dan Ketua Penyelaras Program, Datuk Zull Aznam Haron.


Pada sehari sebelumnya, baginda berdua turut berkenan melancarkan promosi memperkenalkan ‘Bubur Perlis’ ketika berangkat ke Masjid Al-Farisin, Kampung Tachang, Ranong yang turut dihadiri lebih 400 orang anak kariah setempat.


Secara khususnya, program tersebut juga turut mempromosikan Perlis Marathon 2019 (27 April), Perkampungan Sunnah Siri ke 6 / 2019 (19-21 April) tahun ini dan Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 (24-30 Julai tahun hadapan).


Untuk rekod, Tuanku Raja Muda sebelum ini turut pernah melancarkan promosi sedemikian rupa di beberapa buah bandar lain di selatan Thailand termasuklah di Songkhla, Hat Yai, Pattani, Satun, Krabi, Trang dan Phang Nga. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×