KUALA LUMPUR 2 Jan. – Beberapa individu telah dilantik membarisi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berkuatkuasa 1 Oktober tahun lalu hingga 30 September 2021.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat PTPK, pelantikan itu juga telah dipersetujui oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.
Jelas kenyataan tersebut, K. Saraswathy pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah perbadanan tersebut berkuatkuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2021.
“Pelantikan Lembaga Pengarah baharu ini bagi menggantikan barisan lama yang telah tamat tempoh pelantikan pada 8 September tahun lalu.
“Pihak pengurusan dan warga PTPK mengalu-alukan kehadiran Pengerusi dan Lembaga Pengarah PTPK baharu agar dapat memacu perbadanan ini dengan baik,” katanya.
PTPK merupakan badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab mengurus dana pinjaman latihan kemahiran berterusan kepada pelatih. – UTUSAN ONLINE










