Projek perintis bandar pintar di Langkawi diteruskan - Utusan Malaysia

Projek perintis bandar pintar di Langkawi diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri Kedah akan mengambil alih pusat kawalan operasi bersepadu (IOCC) di Kuah, Langkawi dekat sini sebagai usaha untuk membangunkan pulau peranginan itu sebagai sebuah bandar pintar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, projek pembangunan bandar pintar negeri Kedah yang terhenti sebelum ini akan diteruskan dengan menjadikan pulau pelancongan itu sebagai tapak perintis.

“Perkara pertama yang akan kita buat adalah mengambil alih IOCC daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan ia dijangka berlaku pada bulan depan.

“Kita seterusnya akan memulakan projek pembangunan ini di Langkawi dengan melaksanakan konsep bandar pintar menerusi pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penerapan dan Pelaksanaan Pembangunan Bandar Pintar Kedah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Abdul Rahman Din dan Ketua Pegawai Eksekutif STT Technologies Sdn. Bhd. (STT), Suhaimi Ahmad.

Mengulas lanjut, kata beliau, CCTV itu dilengkapi teknologi pengecaman wajah dan kenderaan yang mana sebarang maklumat berkaitan masalah, kemalangan, kebakaran atau bencana alam dapat disalurkan kepada pasukan penyelamat dengan cepat.

“Segala maklumat itu akan dipantau 24 jam oleh CCTV dan apa yang berlaku akan disalurkan terus kepada IOCC sebelum pusat kawalan itu akan menyalurkannya kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan agar CCTV berteknologi tinggi dipasang di pintu-pintu masuk pelancong ke pulau tersebut yang mana ia boleh mengesan lokasi terakhir pelancong sekiranya berlaku sebarang kejadian.

“Selain menekankan aspek keselamatan, konsep bandar pintar ini juga meliputi kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau wifi secara percuma, sistem pembayaran tanpa tunai dan penggunakan aplikasi telefon pintar untuk perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.

Tambahnya, projek pembangunan bandar pintar itu akan dilakukan syarikat penyedia sistem keselamatan tempatan, STT Technologies Sdn. Bhd. dan anak syarikat kerajaan negeri iaitu PKB.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN