SEREMBAN – Kemenangan Ramli Md. Nor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam merupakan suatu amanat yang besar bagi Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN dan Pas akan bekerjasama untuk memenuhi amanat yang telah dipertanggungjawabkan tersebut.
“Tanpa sebuah ikatan atau kerjasama formal, keduanya saling mendukung demi kebaikan negara ini.
“Kami juga berikrar menggabungkan usaha demi perpaduan kaum Melayu dan umat Islam di Malaysia. Akhirnya yang menang ialah rakyat dan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Ramli yang merupakan calon BN mencatatkan kemenangan besar dengan memperoleh undi majoriti 3,238 undi dalam PRK
Cameron Highlands semalam.
Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas masing-masing Sallehudin Ab. Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).
Calon BN tersebut mendapat sokongan Pas yang turut menggerakkan jentera kempen dan ahli mereka untuk memenangkan Ramli.
Terdahulu, Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, kemenangan itu merupakan kemenangan yang manis dan penuh pengajaran buat BN.
Katanya, calon BN meraih kemenangan pada waktu BN tidak mempunyai segalanya kecuali perpaduan dan kesatuan dalam mencapai matlamat yang lebih besar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi Orang Asli kerana enggan membenarkan undian mereka dimenangi melalui ugutan serta penghinaan dan setia kepada BN.
“Kepada Pakatan Harapan, ini adalah permulaan kepada kebangkitan semula BN. Kami tidak akan berhenti sehingga Putrajaya itu kami miliki semula,” katanya. – K! ONLINE










