PRK Cameron Highlands: 1,148 polis ditugaskan hari mengundi - Utusan Malaysia

PRK Cameron Highlands: 1,148 polis ditugaskan hari mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH RATA – Polis Diraja Malaysia meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan paling utama mereka pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pihaknya telah menempatkan seramai 1,148 pegawai dan anggota di seluruh parlimen itu bagi memastikan keselamatan orang ramai terutamanya pengundi terjamin. 

“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir pada pukul 11.59 malam ini, tiada sebarang insiden dan kekecohan yang berlaku serta berada dalam keadaan tenang dan terkawal. 

“Kita akan memastikan keadaan tenang dan terkawal itu kekal pada hari mengundi esok,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media di sini hari ini. 

Tambah Mohd. Zakaria, Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) PDRM turut dipanggil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kekecohan yang tidak terkawal. 

“Selain itu, seramai 110 anggota trafik akan ditugaskan bagi menjaga kelancaran trafik pada hari mengundi tersebut memandangkan hari mengundi jatuh pada hujung minggu. 

“Kita akan menggunakan trak tunda sekiranya terdapat mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya. 

Menurutnya, polis menyeru semua penduduk yang layak mengundi agar keluar ke pusat mengundi yang telah ditetapkan tanpa sebarang keraguan dan ketakutan bagi menjalankan tanggungjawab memilih wakil mereka ke Parlimen.

Sementara itu, polis menerima 29 laporan sepanjang tempoh berkempen berlangsung melibatkan pelbagai kesalahan termasuk rasuah pilihan raya dan penggunaan bangunan dan harta kerajaan. 

“Hanya satu kertas siasatan dibuka melibatkan penyebaran gambar kertas undi pos manakala selebihnya diserahkan kepada agensi dan penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×