SHAH ALAM 6 Jan. – Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 12 bubu yang dipasang tanpa kebenaran di Perairan Laut Sekichan, di sini awal pagi tadi.
Dalam rampasan yang dilakukan kira-kira pukul 1 pagi itu, selepas pemerhatian selama dua jam menerusi Ops Pensura, tidak sebarang tangkapan dilakukan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, sebuah bot ronda yang melakukan rondaan sejak petang menemukan tiga pancang buluh yang merupakan penanda bagi bubu terbabit.
“Kita telah melakukan pemantauan dan pemerhatian lebih dua jam, namun tiada pemilik yang pergi ke lokasi tersebut. Hasil pemeriksaan, 12 pukat bubu dianggarkan bernilai RM1,200 itu dipasang tanpa kebenaran dan kelulusan Jabatan Perikanan Selangor.
“Pukat ini telah dirampas dan di bawa balik ke PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 49 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan peralatan tiada kebenaran dan kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE










