Politik Malaysia pasca-PRU14 masih songsang - Utusan Malaysia

Politik Malaysia pasca-PRU14 masih songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FITRAH politik, pembangkang perlu isu untuk hidup dan ini berbeza dengan parti yang membentuk kerajaan. Untuk hidup mereka kena buat kerja dan kerja bagi kelihatan bagus di mata rakyat.

Namun di Malaysia pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) agak pelik. Sudah lapan bulan beralih tampuk kepemimpinan tetapi songsang itu masih jelas apabila kerajaan pula hidup atas isu sampaikan sesama menteri pun ada tidak sehaluan secara terbuka.

Tidak terkecuali di blok pembangkang, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya seperti masih tidak tahu nak pijak dekat mana sampai ada berkhayal nak bentuk kerajaan semula.

Sebab itu, PH terutamanya DAP terus bersandar pada isu Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai modal politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Ingatkan ada iktibar selepas kalah pada PRK itu, tetapi nampaknya macam tiada perubahan sampai ada pemimpin DAP yang ‘mengaitkan’ kemenangan BN sebagai kemenangan Najib.

Sedangkan sampai bila isu-isu sebelum PRU-14 hendak dimainkan. Sudah nak masuk 300 hari PH menawan Putrajaya, maka apabila jadi kerajaan yang nak dilihat adalah prestasi kerja.

Begitu juga BN. Kenapa nama Najib jadi sebutan kembali? Sebabnya beliau mengambil kesempatan atas isu-isu kelemahan kerajaan untuk troll PH dan natijahnya semua dapat saksikan. Ini dikatakan hidup pembangkang atas isu.

Apa pun, Alhamdulillah, rakyat Malaysia umumnya tidak seperti pemimpin politik. Selepas ada fasa gembira dan ada bersedih dengan keputusan PRU-14, mereka cepat kembali pada fitrah politik.

Rakyat jelas mahu menteri-menteri bukan sahaja buat kerja tetapi menunjukkan prestasi yang baik dan tidak teragak-agak mengkritik walaupun itu pemimpin parti mereka sendiri. Malah, warganet pun beri layanan berbeza pada Najib berbanding 9 Mei lalu.

Justeru, pemimpin BN, UMNO pula jangan malu-malu nak kritik kerajaan PH, sampai macam ada udang di sebalik batu. Dah jadi pembangkang sekarang, apa lagi ‘balunlah’ mana tak betul untuk dijadikan isu agar terus hidup. ‘Malu apa bosku.’ – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN