CAMERON HIGHLANDS 21 Jan. – Polis menerima 17 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sejak hari penamaan calon pada 12 Januari lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, antara laporan yang diterima pihaknya membabitkan kes pemberian wang, khemah dirosakkan, penyebaran kertas undi di media sosial dan insiden kekecohan di Sungai Koyan, semalam.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 5(6)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1964.
“Kita juga menerima satu laporan daripada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berhubung isu di Sungai Koyan dan laporan berhubung salah guna jentera kerajaan oleh jentera BN.
“Kedua-dua kes itu masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu untuk mengambil keterangan pengadu. Bagi kes pemberian wang pula, ia telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PRK Cameron Highlands di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 41 permit ceramah dikeluarkan iaitu 16 permit kepada Pakatan Harapan (PH) dan 25 permit pula kepada BN dan setakat ini ceramah yang diadakan berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini. – UTUSAN ONLINE










