Polis tahan pasangan kekasih, rampas heroin - Utusan Malaysia

Polis tahan pasangan kekasih, rampas heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 2 Jan. – Polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya yang berusia 18 tahun serta merampas dadah jenis heroin seberat 327.5 gram di dua lokasi berasingan di Tanjung Rambutan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Taman Tanjung Perdana di sini pada pukul 2 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu menemukan dadah jenis heroin seberat 2.54 gram dan dengan dipandu arah oleh suspek kemudiannya membawa kepada tangkapan kedua yang merupakan teman wanitanya di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu menjumpai enam peket plastik dadah jenis heroin seberat 325 gram. Nilai keseluruhan rampasan itu berjumlah RM11,375,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah selain positif dadah methamphetamine manakala remaja terbabit pula negatif ujian urin.

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN