Polis tahan bekas banduan jadi pengedar dadah - Utusan Malaysia

Polis tahan bekas banduan jadi pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang pengedar dadah ditahan polis ketika lelaki berkenaan sedang leka menunggu pelanggan di Flet Seri Selangor, Jalan San Peng di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Shaharuddin Abdullah berkata, suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan sekitar pukul 1 petang ketika dia sedang menanti kehadiran pelanggan di kawasan meletak motosikal di flet berkenaan.

“Tangkapan ke atas suspek dilakukan berdasarkan  maklumat serta hasil risikan yang dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Dang Wangi.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek pula telah menemui sebanyak 300 paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 527.38 gram di dalam beg milik suspek,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Suspek yang baru sahaja keluar dari penjara pada bulan Jun lalu akibat kesalahan melibatkan dadah dipercayai kembali aktif mengedar bahan terlarang tersebut demi mendapatkan wang dengan cepat.

Menurut Shaharuddin, soal siasat yang dilakukan mendapati suspek telah aktif mengedar dadah sejak enam bulan yang lalu.

“Suspek yang belum berkahwin dan tidak bekerja dipercayai akan dihubungi oleh pelanggan tetap untuk membuat tempahan sebelum berjanji untuk bertemu di satu lokasi yang telah dijanjikan.

“Setiap satu paket plastik itu bernilai RM50 dan nilai keseluruhan rampasan dalam tangkapan kali ini mampu mencecah sehingga RM15,000,” ujar beliau.

Tambah Shaharuddin, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN