BUKIT MERTAJAM 24 Jan. – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian kemalangan yang menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang sehingga mengorbankan pemandunya, Moey Yun Peng, 20, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ( SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul kesemua laporan berkaitan dengan kes itu serta sedang menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Pihak polis telah merekodkan keterangan 16 individu termasuk saksi awam, ahli keluarga, rakan- rakan mangsa dan pemandu Toyota Vios.
“Selepas semuanya selesai kita akan serahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi, Ahad lalu, kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng, terhumban ke laut selepas berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang.
Sementara itu, mayat mendiang Yun Peng disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Berapit, hari ini.
Ahli keluarga Yun Peng yang masih bersedih dengan kemalangan yang menimpa mangsa enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLI










