KUALA SELANGOR – Polis menasihati orang ramai agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sempena sambutan perayaan Thaipusam hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, ini berikutan jangkaan seramai 40,000 orang akan mengunjungi tiga buah kuil di daerah ini secara berperingkat sepanjang perayaan itu selama dua hari bermula Ahad ini.
Katanya, tiga rumah ibadat tersebut ialah Kuil Subramaniar Alayam Swamy Batu 2 Kuala Selangor, Kuil Subramaniar Alayam Swamy Bukit Belimbing dan Kuil Subramaniar Alayam Swamy Sungai Selangor.
“Perarakan Charriot akan melalui Jalan Bukit Rotan-Kuala Selangor pada Ahad dan perarakan sama akan melalui Jalan Klang-Teluk Intan ke Tanjong Keramat, Kuala Selangor pada Isnin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Md. Asri menjelaskan pengguna dari arah Kuala Lumpur boleh menggunakan Jalan Kelab Golf Kampung Kuantan menuju ke daerah ini.
Ujar beliau, pengguna dari arah Teluk Intan ke Klang dan Kuala Lumpur pula akan dilencongkan ke Jalan Telok Piah Kanan manakala pengguna dari arah Klang ke Kuala Selangor pula dilencongkan ke Jalan Melawati.
“Justeru, pengguna diminta mematuhi arahan atau berdepan sebarang tindakan saman atau penundaan terhadap mana-mana kenderaan didapati menghalang lalu lintas,” katanya. – K! ONLINE










