ISKANDAR PUTERI 30 Jan. – Polis meminta kerjasama lelaki yang diugut seorang individu menggunakan pistol seperti yang tular dalam video kelmarin untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti kedua-dua individu yang terlibat.
Menurut beliau, sekiranya individu yang mengugut itu merupakan seorang anggota polis, tindakan sewajarnya akan diambil.
“Satu laporan polis telah dibuat berhubung video berkenaan oleh anggota polis daripada Jabatan Narkotik, namun masih tiada laporan daripada individu dalam video.
“Kita sedang menyiasat kes ini untuk mengenal pasti kedua-dua individu iaitu yang mengugut dan mangsa yang diugut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ops Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di kawasan Rehat dan Rawat Gelang Patah Arah Utara, di sini sebentar tadi.
Kelmarin tular satu video berdurasi 2 minit 32 saat memaparkan seorang lelaki mengugut seorang lelaki lain dengan sepucuk pistol dan menggunakan bahasa kesat. – UTUSAN ONLINE










