Polis Johor rampas dadah bernilai RM351,870 - Utusan Malaysia

Polis Johor rampas dadah bernilai RM351,870

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM351,870 dalam dua serbuan berasingan di Muar serta Batu Pahat pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun.

Menurutnya, pada serbuan pertama di Taman Aman, Muar dekat sini pada pukul 9.30 malam itu, polis berjaya menahan tujuh lelaki termasuk dua warganegara Indonesia di sebuah pondok berdekatan kawasan perumahan taman tersebut.

“Pemeriksaan ke atas mereka, kita berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 1.050 kilogram (kg) bernilai RM72,800 serta merampas dua pucuk pistol jenis Revolver 38 dan sebutir peluru hidup 9mm.

“Kita turut menyita dua buah kereta iaitu sebuah kereta Proton Persona dan Perodua Myvi bernilai RM38,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Lukas berkata, kejayaan tangkapan kedua pula hasil serbuan di Taman Miri, Batu Pahat dekat sini yang dilakukan pada pukul 3.30 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan.

Jelasnya, hasil siasatan dijalankan polis menjumpai 6.945kg dadah dipercayai jenis heroin dan 2.135kg syabu bernilai RM279,070.

Beliau berkata, selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita dua buah kereta iaitu sebuah kereta jenis Proton Inspira dan Perodua Viva, wang tunai serta barang kemas dan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM99,153.66.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN