LANGKAWI – Tindakan seorang lelaki disyaki tokan dadah menjadikan kawasan berhampiran kebun getah untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah berakhir apabila dia ditahan sepasukan polis dalam Ops Tapis di Kampung Padang Gaong, Mukim Ulu Melaka di sini semalam.
Suspek yang berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendawai elektrik itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam bersama kira-kira 60.65 gram dadah jenis heroin.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sepasukan anggotanya yang melakukan operasi Ops Tapis ternampak suspek berjalan seorang diri di hadapan kebun getah dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampirinya.
“Sebaik sahaja anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui satu beg di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar suspek yang mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi heroin dianggarkan seberat 60.65 gram.
“Suspek yang berasal dari Kampung Bukit Hantu, Mukim Ulu Melaka didapati positif dadah jenis morfin selain mempunyai rekod dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah. – K! ONLINE










