PKR belum terima sebarang notis ROS - Utusan Malaysia

PKR belum terima sebarang notis ROS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Jan.- PKR masih tidak menerima sebarang notis dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan parti itu akan digantung kerana berlaku penipuan dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mengesahkan tidak mendapat makluman lagi berhubung perkara itu setakat ini.


“Saya tidak baca lagi artikel berhubung perkara itu. Tetapi apa-apa pun sebarang aduan harus dibuat mengikut prosedur dan saluran yang betul termasuk daripada segi proses. 


“Jika ada sebarang isu berhubung perkara itu (dakwaan parti itu akan digantung), Setiausaha Agung parti yang akan menjawabnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Restoran Tanpa Asap dan Tembakau di Presint 9 di sini hari ini.


Sebelum ini, satu media memetik kenyataan Azman Noor Adam yang juga adik kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi akaun Facebook mendakwa ROS bakal menggantung PKR kerana berlaku penipuan dalam pemilihan partinya baru-baru ini.


Menurut laporan itu, Azman mendakwa ROS bakal menggantung pendaftaran PKR kerana pemilihan parti itu dipercayai penuh dengan kekecohan dan penipuan.


Azman yang mendakwa menerima maklumat dari sumber dalaman berkata, dengan penggantungan parti itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi lemah dan sekaligus membantutkan peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri.


Dalam pada itu, berhubung desas-desus pertemuan ahli PKR yang didakwa membincangkan mengenai calon Perdana Menteri, Zuraida berkata beliau tidak pasti berhubung perbincangan itu.


“Saya tak pasti mengenai adanya perbincangan tetapi apa pun saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua supaya tidak payah dipolemikkan lagi isu jawatan Perdana Menteri. 


“Mari kita maju ke hadapan, buat kerja masing-masing dan lihat apa yang akan berlaku dua tahun akan datang,” katanya.


Mengenai khabar angin bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa ketika ini sedang mengetuai gerakan untuk ahli parti itu keluar PKR, Zuraida menjawab ringkas, : “Khabar angin adalah khabar angin.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN