Pinjam RM1,000 kena bayar RM10,000 - Utusan Malaysia

Pinjam RM1,000 kena bayar RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Bermula dengan meminjam RM1,000 daripada seorang ceti haram, seorang pemandu pelancong di Cameron Highlands menerima ugutan rumahnya akan dibakar sekiranya gagal membayar balik sebanyak RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, mangsa yang berusia 41 tahun itu mula berurusan dengan suspek untuk membuat pinjaman pada 12 Disember lalu melalui panggilan telefon.

“Keesokannya, suspek memasukkan wang pinjaman RM1,000 ke dalam akaun mangsa. Suspek memberitahu kepada mangsa, dia boleh membayar bunga sekiranya tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut.

“Antara 19 Disember hingga 2 Januari (kelmarin), mangsa membayar bunga RM800 melalui empat transaksi tetapi dimarahi suspek kerana tidak membuat bayaran RM1,000 secara sekali gus,” katanya.

Tambah Mohd. Wazir lagi, suspek kemudian meminta mangsa membayar RM3,000 untuk menyelesaikan pinjaman dan bayaran tersebut juga telah dibuat oleh mangsa pada semalam melalui satu transaksi.

“Suspek meminta pula mangsa membayar RM10,000 dan mengugut untuk membakar rumahnya jika tidak membuat bayaran tersebut,” ujarnya sambil memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN