Phahrolrazi dilantik Pengerusi baharu Nafas - Utusan Malaysia

Phahrolrazi dilantik Pengerusi baharu Nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi, 66, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang baharu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pengurusan Nafas telah distruktur semula bagi memastikan peranannya sebagai Induk Pertubuhan Peladang dapat dilaksanakan dengan lebih efisien selepas tamat tempoh penggantungannya selama enam bulan.

“Kerajaan bersikap proaktif dan positif terhadap Nafas bagi memastikan ia kembali kepada fungsi asal iaitu memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan ahlinya.

“Diharapkan dengan pemilihan saf kepimpinan baharu ini dapat melahirkan lebih ramai pemimpin berintegriti bagi menjamin keperluan golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman pelantikan Pengurus Besar Nafas, Pengerusi serta Ahli Jemaah Pengarahnya yang baharu di Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis sama turut diadakan upacara menandatangani Surat Aku Janji serta bacaan Ikrar Aku Janji.

Sementara itu, Salahuddin turut mengumumkan pelantikan lima orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan lima lagi AJP yang merupakan calon simpanan daripada pemilihan AJP Nafas pada tahun 2016 bagi penggal 2016 hingga 2019.

Barisan AJP Nafas yang baharu lantikan menteri iaitu Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim; ADUN Apam Putra, Mohd. Hisyamuddin Ghazali; Pensyarah Universiti Zainal Abidin, Normah Yusof; Senator Dr. Yaakob Sapari dan Ketua Amanah Simpang Renggam, Muhamad Said Jonit.

Manakala lima lagi AJP Nafas ialah Pemangku Ketua UMNO Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid; Bekas Ketua UMNO Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abd. Rahman; Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar; Abdul Kalam Hassan dan Ishak Taib. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×