SUNGAI PETANI 27 Jan. – Seorang pesara tentera yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi motosikal berhampiran surau di Jalan Utama Taman Kelisa Ria, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Roslan Hussain, 47, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Difahamkan, anak bongsu mangsa, Nur Qaseh, 4, yang turut membonceng motosikal jenis Honda Dash itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua remaja lelaki yang dalam perjalanan menuju ke arah surau itu dipercayai melanggar motosikal mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa terjatuh dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Adzli, penunggang sebuah lagi motosikal yang berusia 18 tahun turut cedera dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini manakala pemboncengnya tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke HSAH untuk proses bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, isteri mangsa, Idayu Dorlah, 38, berkata, mereka memiliki empat cahaya mata berusia antara 15 hingga empat tahun termasuk tiga yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir dan Sekolah Kebangsaan (SK) Petani Para, di sini.
Katanya, jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa sebelum waktu Zohor hari ini. -UTUSAN ONLINE










