NILAI – Seorang pesakit buah pinggang kronik ditemui mati di perkarangan stesen minyak Petronas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat sini hari ini.
Mayat Chai Mee Leng, 53, ditemui oleh pekerja lebuh raya berkenaan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipercayai miliknya kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pihak polis dimaklumkan berhubung penemuan mayat lelaki itu oleh pihak PLUS pada pukul 9.10 pagi.
“Kaunter aduan polis terima panggilan daripada pekerja PLUS mengatakan ada seorang lelaki terbaring dalam sebuah kereta berhampiran stesen minyak Petronas RNR Seremban arah utara disyaki telah meninggal dunia.
“Polis telah pergi ke lokasi dan mendapati benar ada lelaki telah meninggal dunia dalam sebuah kereta di situ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan mendapati lelaki itu beralamat di Puchong, Selangor dan terdapat kesan tebukan serta tiub pada anggota badannya dipercayai kesan rawatan buah pinggang.
Kata beliau, ahli keluarga lelaki itu turut memaklumkan polis Mee Leng menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak tahun 2014 dan terpaksa menjalani rawatan rawatan dialisis air (CAPD) enam jam sehari.
Tambah beliau, lelaki itu juga memiliki rekod rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Kuala Lumpur dan mayatnya telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan.
“Berdasarkan siasatan dan keterangan yang di terima sepadan dengan keadaan lelaki itu. Dia dipercayai mati akibat sakit buah pinggang yang kronik. Kematiannya tiada unsur unsur jenayah,” katanya. – K! ONLINE










