Pertarungan klasik dua musuh lama di final - Utusan Malaysia

Pertarungan klasik dua musuh lama di final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE – Dua orang lama, Novak Djokovic dan Rafael Nadal sekali lagi bakal membuat pertarungan klasik dalam era tenis moden apabila kedua-duanya turun berentap di pentas final Kejohanan Terbuka Australia hari ini.

Djokovic dan Nadal berpeluang menambah koleksi gelaran Grand Slam masing-masing sekiranya memenangi pertemuan final ini, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam karier masing-ma­sing.

Jika menang, Djokovic, 31, bakal mengatasi rekod tujuh kejuaraan Terbuka Australia yang dicipta Norman Brookes, manakala Nadal, 32, pula akan menjadi pemain pertama di era moden yang memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam sebanyak dua kali selepas memenangi trofi ini pada edisi 2009.

Selain itu, Nadal juga akan mengumpul 18 gelaran Grand Slam dan menghampiri rekod 20 gelaran yang dipegang Roger Federer, manakala Djokovic pula akan berada di tempat ketiga mengatasi Pete Sampras sekiranya menjuarai gelaran Grand Slam ke-15 ini.

“Perlawanan seperti inilah yang memberi makna dalam hidup saya, apabila dapat menentang pencabar paling hebat di final kejohanan Grand Slam.

“Inilah yang saya sangat harap-harap­kan selama ini,” jelas pemain Serbia itu selepas menewaskan Lucas Pouille 6-0, 6-2, 6-2 di separuh akhir kelmarin.

Ini pertemuan ke-53 bagi kedua-dua bintang tenis tersebut dan juga aksi final Grand Slam kelapan dalam karier mereka.

Djokovic dilihat memiliki kelebihan dengan 27 kemenangan ke atas Nadal (25 kemenangan), namun pemain Sepanyol itu pula pernah memenangi empat aksi final di kejohanan Grand Slam.

Nadal menjelaskan dia lebih suka untuk memberi tumpuan terhadap permainannya sendiri berbanding dengan rekod pertemuannya dengan Djokovic.

“Saya mahu fikirkan tentang permainan saya sahaja. Saya perlu teruskan prestasi seperti yang saya tunjukkan sebelum ini.

“Itulah perasaan saya sekarang. Saya hanya mahu fokus kepada pertemuan esok (hari ini) dan harapnya ia dapat menghadiahkan kegembiraan kepada saya,” jelas Nadal yang menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-2, 6-4, 6-0 di separuh akhir Khamis lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×