Perokok patuhi larangan, keluar kedai lepas hajat - Utusan Malaysia

Perokok patuhi larangan, keluar kedai lepas hajat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 1 Jan. – Rata-rata perokok di negeri ini dilihat mematuhi larangan yang ditetapkan oleh kerajaan supaya tidak merokok di tempat awam khususnya di dalam kedai-kedai makan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah premis makanan di sekitar bandar ini dan Arau mendapati suasana di dalam kedai terbabit bebas daripada asap rokok.

Dalam pemerhatian dilakukan, perokok keluar sejauh kira-kira tiga meter dari premis tersebut untuk melepaskan gian merokok khususnya selepas menjamu selera.

Tindakan itu adalah sebagai menghormati pelanggan lain selain mematuhi arahan kerajaan.

Seorang perokok yang enggan dikenali berkata, meskipun janggal kerana tidak lagi merokok di dalam kedai makan namun dia terpaksa membiasakan diri selepas ini.

“Undang-undang sudah dikuatkuasakan (larangan merokok) jadi kita kena patuhlah. Selalunya habis makan atau minum saya akan merokok (di dalam kedai).

“Kali ini, hendak merokok kena cari tempat yang sesuai. Seperti hari ini, saya keluar daripada kedai makan apabila ingin merokok. Saya rasa selepas ini, semua perokok khususnya akan biasa dengan suasana baharu ini,” katanya.

Seorang pelanggan, Norsham Idris, 34, pula berkata, suasana di kedai-kedai makan hari ini nampak berbeza kerana tidak ada lagi orang merokok.

Katanya, situasi tersebut merupakan perkembangan yang baik kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab mematuhi peraturan.

“Saya lihat apabila hendak merokok, mereka keluar merokok di luar kedai. Baguslah kerana suasana di dalam kedai juga bebas daripada asap rokok,” katanya.

Bermula hari ini, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.

Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN