Penyu jangan gelabah - Utusan Malaysia

Penyu jangan gelabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu emosi ketika melayan kunjungan PKNS FC pada aksi sulung Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

“Jangan terlampau emosi dan tertekan, mereka harus bermain seperti biasa dan perlu ada ketenangan, ini yang penting dan perlu dititikberatkan pemain.

“Selain itu saya ingatkan pemain tidak terlalu berhati-hati ketika beraksi kerana selalunya dalam perlawanan pertama mana-mana pasukan gemar bermain cara sedemikian,” kata Irfan dalam Facebook rasmi Terengganu FC.

Mengulas persediaan pasukannya menjelang pertemuan dengan skuad Semut Merah itu, Irfan menyatakan pemainnya berada pada tahap terbaik sebelum turun melayani kunjungan pasukan lawan bimbingan Datuk K. Rajagobal itu.

“Pemain sudah bersiap sedia untuk perlawanan pertama kerana ia amat penting kepada kami untuk mengutip mata lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selain pembakar semangat kepada mereka untuk aksi seterusnya.

“Dalam perlawanan pramusim di Vietnam dan Kuala Lumpur sebelum ini mereka berjaya mempamerkan aksi meyakinkan, malah saya juga sudah mengenal pasti kelemahan serta kekuatan sebenar pasukan. Kami sudah ada barisan kesebelasan utama,” katanya.

Irfan yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu turut gembira kerana semua pemainnya bebas daripada skecederaan kecuali kecederaan lama pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang dijangka sembuh Mei depan.

“Setakat ini tiada pemain cedera, ini melegakan kami, namun kami harapkan pemain yang bakal diturunkan perlu membuktikan kemampuan dan membantu pasukan mengutip mata penuh.

“Tidak sebagaimana musim lalu kami seri 2-2 dalam aksi pertama dan tewas 0-4 di pusingan kedua kepada pasukan itu pada saingan liga,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN