LONDON 23 Jan. – Son Heung-min membantu Korea Selatan terus di landasan untuk menamatkan kemarau 59 tahun Piala Asia selepas melangkah ke suku akhir dengan menewaskan Bahrain 2-1, semalam.
Begitupun penyokong Tottenham tidak gembira menerima berita tersebut.
Selepas Harry Kane mengalami kecederaan buku lali ketika Spurs tewas 0-1 kepada Manchester United minggu lalu, Dele Alli pula dibelenggu masalah hamstring.
Kedua-dua tonggak serangan Spurs itu hanya dijangka kembali beraksi pada Mac.
Ketiadaan Heung-min memburukkan lagi keadaan ketika pasukan itu bakal berdepan beberapa perlawanan penting, termasuk separuh akhir Piala Liga menentang Chelsea esok, selain saingan Liga Juara-Juara bertemu Borussia Dortmund awal bulan depan.
Sebaik sahaja Tottenham memuat naik kejayaan Korea Selatan mara ke suku akhir Piala Asia, Instagram rasmi mereka dihujani komen penyokong yang mengharapkan skuad Taeguk Warriors tersingkir awal bagi membolehkan Heung-min segera pulang ke London.
Korea Selatan yang kali terakhir muncul juara Asia pada 1960 akan menentang Qatar di suku akhir.
Qatar mara selepas menyingkirkan Iraq 1-0 dalam aksi sengit di Abu Dhabi, awal pagi tadi. – AGENSI










