Penuntut IPTA, jururawat, guru pendidikan khas dicekup berkhalwat  - Utusan Malaysia

Penuntut IPTA, jururawat, guru pendidikan khas dicekup berkhalwat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA), jururawat dan guru pendidikan khas antara tiga daripada enam individu yang dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Op Tangkap Khalwat awal pagi tadi. 

Dalam serbuan selama dua jam yang berakhir pukul 4 pagi itu, tiga wanita berkenaan masing-masing berumur 22, 23 dan 25 tahun dicekup ketika bersekedudukan dengan kekasih di tiga bilik berasingan di sebuah hotel bajet di Batu Berendam.

Ketua Penguat Kuasa JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, penguatkuasa terpaksa mengetuk setiap pintu bilik hotel terbabit selama 30 minit sebelum dibuka oleh tiga pasangan berkenaan. 

“Hasil soal siasat, pasangan ini mengakui mereka mengambil kesempatan sempena cuti umum tahun baru ini untuk berjumpa dan melepaskan rindu dengan pasangan masing-masing yang duduk berjauhan. 

“Pada awalnya mereka enggan memberikan kerjasama menyebabkan penguatkuasa terpaksa mengetuk pintu setiap bilik selama 30 minit sebelum dibuka dan membenarkan pemeriksaan dibuat,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JAIM di sini hari ini. 

Difahamkan, penuntut IPTA di Shah Alam itu juga baru sahaja menamatkan peperiksaan akhir semester dan datang ke Melaka semata-mata demi berjumpa kekasihnya sebelum pulang ke Kelantan. 

Rahimin berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN