KEMAMAN – Gara-gara terlanggar serpihan batang besi yang bersepah di tengah jalan, seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 248.3 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi itu, Mohammad Hanif Abu Bakar, 28, yang juga operator penyelenggaraan sebuah kilang pemprosesan besi keluli meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Mohammad Hanif yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kawasan Industri Malaysia-China Kuantan, dari rumahnya di Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan selepas terlanggar sebatang besi yang terdapat di tengah jalan.
“Motosikal dinaiki mangsa kemudiannya terjatuh sehingga menyebabkan badan mangsa terseret beberapa meter di laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE










