GOMBAK – Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah kenderaan dipercayai sebuah lori di Kilometer 10.3, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Hakimi Dali, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Ampang.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC secara bersendirian di lorong paling kiri itu kemudian telah terlanggar bahagian belakang sebuah kenderaan dipercayai lori.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah terjatuh dan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Menurut Samsor, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan yang terbabit dalam insiden berkenaan dan memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil atau menghubungi polis. – K! ONLINE










