SHAH ALAM – Seorang Penolong Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat sebuah universiti awam di Selangor direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung menerima rasuah bernilai RM30, 000 bagi kerja-kerja pembekalan dan dan pencetakan di universiti tersebut, empat tahun lalu.
Turut direman berkaitan kes itu adalah seorang pembantu tadbir kanan di universiti sama dengan masing-masing adalah lelaki berusia 42 dan 47 tahun.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shazali Hidayat Shariff di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini.
Terdahulu, kedua-dua suspek itu tiba di mahkamah pukul 10.50 pagi memakai baju lokap tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tangan bergari.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pukul 10.45 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Katanya, kedua-dua suspek didapati telah bersubahat menerima suapan bernilai RM30, 000 daripada pemilik sebuah syarikat pengiklanan.
“Suapan itu adalah sebagai balasan memilih dan mengesyorkan syarikat tersebut bagi beberapa buah kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut.
“Siasatan awal mendapati aktiviti rasuah itu dilakukan pada 2015,” katanya.
Jelas sumber tersebut, kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.
Kosmo Online terdahulu melaporkan dua individu termasuk Penolong Pengarah sebuah universiti awam di negeri ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung rasuah bernilai lebih RM30,000 bagi kerja-kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut, malam tadi. – K! ONLINE










