GEORGE TOWN – Seorang penolong pegawai tadbir sebuah universiti awam di Pulau Pinang direman empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM140,000.
Perintah tahanan reman yang bermula hari ini sehingga 27 Januari itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Muna Maria Azmi selepas Pegawai Penyiasat G. Darshini mengemukakan permohonan.
Suspek wanita yang berumur 42 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah hari semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir untuk memberi keterangan.
Suspek tiba di Mahkamah Majistret hari ini diiringi pihak SPRM dan dia diwakili peguam S. Amaresh.
Dia disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Bernama










