Penjawat awam golongan berisiko tinggi terhadap rasuah - Utusan Malaysia

Penjawat awam golongan berisiko tinggi terhadap rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar berkata, kajian mendapati sebanyak 40 peratus daripada pesalah yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2011 hingga 2015 adalah kalangan penjawat awam.

Menurutnya, kajian Persepsi Integriti Nasional (KPIN) pula mendedahkan bahawa penjawat awam juga kurang kefahaman mengenai rasuah khususnya  berkaitan dengan 10 kesalahan rasuah seperti yang terkandung dalam akta SPRM 2009.

“Rasuah adalah masalah negara yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh kerana ia memberikan kerugian besar kepada negara. 

“Rasuah bukan semata-mata kesalahan undang-undang tetapi juga kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, pelaksanaan NACP bagi tempoh lima tahun akan datang diharap dapat memantapkan imej dan kualiti perkhidmatan awam ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Pelan ini juga dapat membantu menangani isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh khususnya dalam perkhidmatan awam selain undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan.

“Pada masa yang sama, persepsi negatif masyarakat terhadap penjawat awam turut dapat diperbaiki,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×