MARAN 27 Jan. – Seorang peniaga makanan di simpang Felda Jengka Satu dekat sini terpaksa menerima hakikat bahawa perniagaannya kini sukar menjana pendapatan harian.
Situasi berkenaan dihadapi oleh Zanurin Baharuddin, 53, akibat kejatuhan harga kelapa sawit dan getah sejak enam bulan lalu yang mengakibatkan perniagaannya merosot.
Generasi kedua di Felda Jengka Satu itu berkata, pelanggan yang terdiri daripada peneroka dan pekerja ladang lazimnya mengunjungi kedainya pada sebelah pagi, tengah hari dan petang untuk mengisi perut dengan pelbagai juadah seperti nasi lemak, mi kari serta mi bandung namun kini mereka cuma datang sekali.
“Kebanyakan mereka agak sukar memperoleh wang berikutan harga sawit jatuh. Ini termasuk pekerja ladang yang menerima upah rendah, apatah lagi pengeluaran hasil juga kurang.
“Ekoran pendapatan hasil sawit dan getah yang merosot, peneroka, pekebun serta pekerja ladang terpaksa berjimat untuk menyediakan keperluan penting lain dan sudah jarang singgah makan di sini,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurut Zanurin, dia pernah berhijrah ke Kuala Lumpur ketika usia mudanya dan melakukan pelbagai kerja tetapi tidak pernah mengalami keperitan hidup seperti sekarang akibat harga sawit tidak menentu dan kenaikan harga barang.
Katanya, dia pulang ke tanah rancangan kerana Felda menguar-uarkan peluang keusahawanan dan perniagaan menerusi bantuan tertentu selain dapat membantu ibu bapanya di ladang.
“Saya memilih untuk berniaga setelah kembali ke kampung sejak 20 tahun lalu dan membuka kedai makanan dengan memperoleh pendapatan yang agak lumayan sehingga mampu menampung perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak.
“Namun sejak harga kelapa sawit jatuh, hendak mendapatkan semula modal harian cukup sukar,” katanya.










