KUANTAN – Seorang peniaga dalam talian Internet di sini kerugian RM56,450 selepas menyedari ditipu menerusi urusan perniagaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, mangsa berusia 28 tahun mula mengenali suspek menerusi laman Facebook pada awal tahun lalu.
“Tujuan pengadu berkenalan dengan suspek adalah untuk mengikutinya ke China dan memborong barang-barang pada harga lebih murah.
“Pada 21 Mac 2018, pengadu bersama suaminya serta suspek berlepas ke China dan membeli televisyen. Suspek menawarkan khidmat menghantar televisyen itu ke Malaysia dan hubungan mereka menjadi semakin baik,” kata Mohd. Wazir.
Tambah beliau lagi, mangsa bersama suaminya kemudian menemui suspek berusia 30-an pada 8 April tahun lalu di sebuah hotel di sini untuk berbincang mengenai peluang perniagaan.
“Dalam pertemuan itu, suspek menawarkan kepada pengadu untuk membuat perniagaan membekalkan pek pembungkusan kepada pengusaha kosmetik tempatan.
“Pada 9 April hingga 8 Jun 2018, mangsa beberapa kali membuat bayaran kepada akaun syarikat milik suspek.
“Selepas bayaran terakhir dibuat, mangsa sudah tidak dapat menghubungi suspek dan menyedari ditipu dengan kerugian RM56,450” katanya.
Ujar beliau lagi, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










