KLANG – Pengurus operasi sebuah bank maut akibat lemas selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke dalam parit di Jalan Kebun Nenas, Bandar Putera di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, Yap Kian Soon, 38, meninggal dunia di dalam parit sedalam empat meter tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati ketika mangsa yang memandu SUV jenis Hyundai Tucson dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa selepas keluar bersama rakannya.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit apabila melalui laluan selekoh di jalan tersebut.
“Akibatnya, SUV itu terbalik dengan mangsa tersepit di bahagian pemandu sebelum meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat lemas dengan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Shamsul Amar menjelaskan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 12 tengahari tadi selepas selesai bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk semasa memandu, ” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










