Pengawal Istana Seri Menanti maut dilanggar lari  - Utusan Malaysia

Pengawal Istana Seri Menanti maut dilanggar lari 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Seorang anggota polis Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan maut dalam kejadian langgar lari di sebuah persimpangan di Jalan Besar berhampiran Taman Rose Merah dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengahari itu, mangsa, Muhamad Shafiq Ramlan, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dipercayai dilanggar sebuah lori sewaktu tiba di sebuah persimpangan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa yang masih bujang dalam perjalanan ke Kuala Pilah untuk bertugas di Balai Pengawal di Istana Seri Menanti semasa kemalangan itu berlaku.

“Lori yang dipercayai membawa muatan batu meninggalkan mangsa sejurus kemalangan itu berlaku dan mangsa maut di tempat kejadian.

“Bagaimanapun seorang lelaki yang mendakwa dirinya penumpang lori itu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk bagi mengenal pasti identiti pemandu dan lori terlibat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal dari arah Nilai menghala ke arah Labu sedang mengekori lori berkenaan.

Kata beliau, lori itu kemudian membelok ke kiri apabila tiba di sebuah persimpangan di lokasi kejadian dan menyebabkan mangsa termasuk ke bawah lori itu.

Menurut beliau, lori itu seterusnya melanggar mangsa yang berada di bawah kenderaan berat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Jelas beliau, pemandu lori itu tidak menghentikan kenderaannya, namun berhenti di sebuah lokasi kira-kira 300 kilometer dari lokasi kejadian dan mengarahkan penumpangnya turun.

Katanya, penumpang lori itu mendakwa dia tidak mengenali pemandu lori tersebut kerana dia hanya ditumpangkan oleh pemandu lori itu dari tempat kerjanya di sebuah tapak projek perumahan dekat sini.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ) Seremban untuk bedah siasat. Kami juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN