PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM300 kepada seorang penganggur kerana mencuri pelbagai barangan di sebuah kedai serbaneka di sini, Ahad lalu.
Jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjarakan tiga hari.
Mohammad Aziezir Abdullah, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didapati mencuri di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta dengan mencuri pelbagai barangan perkakasan.
Dia didapati mencuri empat unit lampu LED, satu unit mentol, tiga bilah pisau, dua unit gerudi elektrik, satu unit set sepana dan dua unit barang cenderahati yang kesemuanya bernilai RM267.70.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Sunway di sini pukul 2.45 petang, 30 Disember lalu.
Untuk itu, dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu hukuman diringankan memandangkan dia tidak bekerja dan tinggal bersama ibu saudaranya di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesilapan sama. – K! ONLINE










