MELAKA – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada November lalu.
Tertuduh, R. Ruban, 26, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun kira-kira pukul 9 pagi di Bukit Senjuang di sini pada 7 November 2018.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak mempunyai wang dan menganggur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan menetapkan tarikh 27 Februari ini sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE









