Penerbangan Cargolux buat pendaratan cemas di KLIA - Utusan Malaysia

Penerbangan Cargolux buat pendaratan cemas di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 17 Jan. – Penerbangan Cargolux Airlines CV703 yang sedang dalam perjalanan ke Zhengzhou, China, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus berlepas malam tadi setelah dilaporkan berlaku kebakaran kecil dengan asap di ruang kokpit.

Syarikat penerbangan kargo berpangkalan di Luxembourg itu dalam satu kenyataan berkata, keadaan cemas diisytiharkan selepas kru melaporkan berlaku kebakaran itu.

“Kru pengendali membuat keputusan berpatah balik ke Kuala Lumpur dan pesawat mendarat dengan selamat,” kata Cargolux.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pengendali lapangan terbang KLIA, dalam Twitter dan Instagram rasminya berkata, pesawat itu mendarat dengan selamat pada 8.14 malam tadi dan tiada individu dilaporkan tercedera.

MAHB berkata, landasan berkenaan, Runway 1 (32R) kini ditutup bagi membolehkan pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang memeriksa pesawat.

“Kami menjangka beberapa penerbangan tertangguh berikutan penutupan landasan itu.

“Sila hubungi syarikat penerbangan anda mengenai jadual penerbangan terbaru,” katanya.

Kenyataan tersebut turut menambah, Cargolux akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan untuk mengetahui punca insiden berkenaan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×