ACEH 27 Jan. – Penduduk di perkampungan Tanjong Meunye di Aceh Utara masih takut untuk pulang ke rumah masing-masing biarpun limpahan lumpur akibat kerja-kerja penggalian perigi sudah reda.
Hal ini kerana, penduduk kampung masih trauma sekiranya banjir lumpur berlaku sekali lagi dan mengancam nyawa mereka.
Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa sehari selepas insiden itu berlaku, air dalam perigi menjadi berbuih dan turut mendengar bunyi seperti guruh di dalam tanah.
Tribune News melaporkan, sekurang-kurangnya 11 ketua keluarga masih tinggal di dalam khemah di pusat pemindahan sementara di sebuah kawasan padang bola sepak yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi penggalian yang mencetuskan banjir lumpur.
Kejadian banjir lumpur itu berlaku pada Rabu lalu selepas satu perigi digali di sebuah ladang cili sehingga menyebabkan semburan lumpur setinggi 25 meter.
Perigi tersebut digali bagi tujuan penanaman cili di ladang berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa pasukan termasuk dari Jabatan Tenaga dan Sumber Mineral dan Agensi Pengurusan Minyak dan Gas Aceh (BPMA) memantau lokasi kejadian termasuk menguji fungsi parameter air.
Jelas kesemua pasukan tersebut, limpahan lumpur berkenaan tidak memberi kesan terhadap alam sekitar namun, penduduk diarahkan supaya tidak mendekati kawasan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut seorang daripada penduduk kampung, Keuchik Mawardi berkata, fenomena air perigi berbuih dan bunyi guruh di dalam tanah tidak pernah berlaku sebelum ini dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan penduduk kampung tidak berani menggunakan air perigi untuk kegunaan harian mereka kerana khuatir ia beracun.
Sementara itu, wakil BPMA memaklumkan bahawa hasil ujian menunjukkan limpahan lumpur itu berlaku akibat pelepasan gas namun ia tidak mengandungi gas petroleum seperti yang didakwa penduduk. – AGENSI










