KUALA LUMPUR 16 Jan. – Bagi memastikan harga barang tidak terus meningkat, Pergerakan Pemuda UMNO menubuhkan Sekretariat Pemantauan Harga Barang.
Sekretariat ini akan memulakan operasi pada bulan hadapan.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengerahkan kesemua ketua-ketua pemuda bahagian setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkenaan.
Katanya, tindakan ini bagi membantu kerajaan untuk memastikan harga barang tidak terus menekan rakyat.
“Rakyat masih tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Sehingga kini, kita dapati kerajaan tidak ada mekanisme berkesan dan ini yang perlu kita zahirkan supaya rakyat tidak boleh ditipu.
“Kami akan membuat pemantauan harga barang secara bulanan dan keputusannya akan diuar-uarkan kepada media dan media sosial,“ katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco Pemuda UMNO kali pertama 2019 di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, tambah Asyraf Wajdi, pihaknya akan melaksanakan kempen menambah ahli-ahli muda di kampus-kampus universiti sejajar dengan keputusan kerajaan yang membenarkan mahasiswa berpolitik.
Katanya, gerak kerja kempen berkenaan akan bermula pada bulan hadapan.
“Pemuda UMNO cuba mendekati golongan mahasiswa berdasarkan ilmu dan fakta. Kita mahu menghapuskan fitnah seperti yang dibawa Pakatan Harapan yang memainkan sentimen mahasiswa,“ ujarnya. – UTUSAN ONLINE










