Pemuda OKU rayu bantuan tanggung kos baiki motosikal - Utusan Malaysia

Pemuda OKU rayu bantuan tanggung kos baiki motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Seorang pemuda kurang upaya (OKU) Sofiri Azally, 44, menjadikan motosikal roda tiga sebagai satu-satunya pengangkutan untuknya menyara kehidupan sebagai pemungut barangan terpakai sejak 13 tahun lalu.

Sofiri yang masih bujang menggunakan kemudahan itu setiap hari mengutip barangan terpakai di sekitar Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi untuk dijual.

Namun kehidupannya berubah selepas dia terlibat kemalangan kira-kira enam bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menceritakan lebih lanjut Sofiri berkata, akibat kemalangan itu dia bukan sahaja mengalami kecederaan bahkan motosikalnya juga rosak teruk.

“Selepas kemalangan saya tidak boleh bergerak ke mana-mana dan terpaksa menjadikan kaki lima sebagai tempat berteduh daripada hujan dan panas.

“Saya tidak mampu untuk mengambil semula motosikal di bengkel kerana kos membaikinya sahaja kira-kira RM800,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kaki lima premis perniagaan di Jalan Pantai Permai 7, Bukit Kerinchi, di sini.

Sofiri berkata, keputusannya untuk tinggal di kaki lima bukan mahu meraih simpati orang ramai sebaliknya di­sebabkan kesukarannya untuk bergerak ke sana sini.

“Saya amat memerlukan motosikal yang selama ini menjadi pengangkutan utama untuk mencari rezeki sebagai pemungut barangan terpakai,” katanya yang berasal dari Kuala Kedah, Kedah itu.

Dia yang berhijrah ke ibu kota sejak 26 tahun lalu itu pernah bekerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Alam Flora Sdn. Bhd. sebelum diberhentikan pada 2006 kerana masalah kesihatan.

“Saya mempunyai masalah di kedua-dua bahagian lutut sebelum ini dan keadaan semakin teruk selepas diserang angin ahmar pertengahan 2006.

“Selepas diberhentikan, saya nekad meneruskan pekerjaan sendiri dengan mengutip dan menjual barang-barang terpakai. “Alhamdulilah melalui pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 dapatlah saya meneruskan kehidupan,” katanya yang memiliki sebuah kedai kecil di Bukit Kerinchi dan dijadikan tempat tinggal selain menyimpan barang-barang terpakai sebelum ini.

Menurutnya lagi, lot kedai itu merupakan tempat pemindahan sementara sebelum menunggu sebuah tapak baharu yang dijanjikan oleh pemaju.

“Saya juga merayu kepada DBKL untuk menawarkan satu unit Projek Perumahan Rakyat kepada saya untuk dijadikan tempat berteduh yang lebih selesa,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Sofiri boleh menghubungi beliau di talian 011-2436 5378.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini