Pemimpin ucap tahniah kepada Agong baharu - Utusan Malaysia

Pemimpin ucap tahniah kepada Agong baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Wan Azizah

“Merafak sembah setinggi tahniah Al-Sultan Abdullah sempena diperkenan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya dalam catatan di Twitter beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkongsi kegembiraannya menerusi ucapan sembah tahniah atas pelantikan baginda di Twitter dan Facebook beliau.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata, kewibawaan Al-Sultan Abdullah memerintah negeri semasa dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang sebelum ini, dapat membantu baginda membawa kejayaan yang lebih gemilang kepada negara Malaysia yang tercinta.

“Bagi pihak kerajaan negeri serta rakyat jelata sekalian, patik mengutuskan setinggi-­tinggi sembah tahniah ke sisi Al-Sultan Abdullah atas pemilihan sebagai Yang di-Pertuan­ Agong ke-16,” ujarnya.

Menurut Menteri Besar Perak,­ Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,­ keputusan Majlis Raja-Raja memilih Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masing-masing sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekali gus meneruskan kesinambungan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

Dalam pada itu, pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong ke-16 adalah bermakna buat arena­ sukan tanah air kerana baginda dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan terutamanya bola sepak dengan pernah menjadi Presiden Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada 2014 hingga 2017.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyifatkan ba­ginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat dan mudah didekati serta merupakan seorang tokoh sukan yang profesional dalam menjalankan tugas.

“Baginda sangat terkenal dengan keperibadian yang berfikiran terbuka, senang menerima­ pandangan akar umbi untuk memajukan bola sepak negara,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×