Pembatalan ECRL belum muktamad - Utusan Malaysia

Pembatalan ECRL belum muktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Keputusan penamatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke tiga buah negeri pantai timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang seperti yang dikatakan sebelum ini belum muktamad.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek diterajui syarikat pembinaan Communications Construction Group Ltd (CCCC) dari China itu mempunyai perubahan dan memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak berkaitan.

“Buat masa ini sebenarnya tiada keputusan yang dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ditetapkan, namun ketika ini ada beberapa perubahan.

“Rundingan yang dikendalikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan diumumkan setelah rundingan itu selesai,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama hampir tiga jam, bertempat di Menara Yayasan Selangor semalam.

Pada Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata projek ECRL diterajui CCCC telah ditamatkan menerusi satu mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Keputusan itu terpaksa diambil kerajaan kerana tidak mampu menanggung kadar faedah yang menjangkau RM500 juta setahun jika projek tersebut diteruskan dan bernilai RM81 bilion keseluruhannya.

Namun Lim Guan Eng, mengeluarkan kenyataan bercanggah dan dilaporkan terkejut dengan kenyataan Mohamed Azmin, malah menegaskan bahawa pendirian muktamad kerajaan berhubung status projek terbabit akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Mengulas kenyataan bercanggah berhubung projek ECRL itu, Dr Mahathir berkata, kedua-dua menteri betul, tetapi membuat pengumuman pada masa yang salah.

“Sebenarnya keputusan sudah dibuat. Menteri hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi media tidak laporkan perkara sebenar dengan menekankan perkara lain.

“Sebenarnya yang patut diberi penekanan ialah hubungan kita dengan China kekal utuh. Media memberi tafsiran berbeza mengenai kenyataan menteri.

“Saya sendiri ada tanya menteri. Dia kata tak jawab macam itu,” Jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menjelaskan akan meletakkan seorang calon mempunyai latar belakang yang bagus dan dikenali masyarakat bagi mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dun Semenyih awal Mac nanti.

“Saya tidak risau tentang keputusan pengundi Melayu di PRK Cameron Highland baru-baru ini. Calon yang bakal diletakkan di Semenyih adalah calon yang disukai orang ramai,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN