Pembangkang itu seharusnya macho dan seksi! - Utusan Malaysia

Pembangkang itu seharusnya macho dan seksi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semua sedia maklum analisis kemenangan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland menyatakan ia sudah diduga. Seolah-olah ahli nujum yang dapat merasai dan menjiwai kenapa Barisan National (BN) menang.

Memang menarik cerita tentang pilihan raya kecil selepas UMNO dan BN tidak lagi memegang kuasa. Yalah, tidak pernah berlaku sebelum ini menang PRK tanpa BN sebagai kerajaan. Dan ini mencatat sejarah tersendiri selain benar-benar mengukur kewibawaan dan kredibiliti parti-parti bertanding.

Apa yang pasti rakyat dan pengundi kali ini benar-benar bersedia dan memahami isu sebagai balasan siapa akan dipilih dalam pilihan raya nanti.

Kalau tidak takkanlah seorang makcik di kampung terjumpa calon yang bertanding dan meminta surat lawyer kerana dah tak percaya dengan janji yang dibuat pada pilihan raya lepas.

Itu antara perkara yang jelas dalam pertimbangan para pengundi, bukan lagi semberono memilih siapa yang mereka suka dalam pilihan raya.

Apatah lagi selepas 9 Mei 2018, rakyat sudah sedar mereka yang sebenarnya berkuasa atau layak dipanggil “bossku”.

Ada yang kata dalam keadaan sekarang parti yang memerintah dilihat dominan dan di puncak kuasa kerana dikelilingi jentera, pengaruh dan wang ringgit.

Ini kerana mereka berkuasa penuh sebagai beberapa parti politik yang mengawal kerajaan.

Tapi betulkah telahan itu apatah lagi dalam beberapa PRU lepas pembangkang dilihat mempunyai aura tersendiri.

Malah mereka masih terbawa-bawa sikap dan kelaku pembangkang walaupun kini sudah menjadi kerajaan.

Mungkin kerana terbiasa merasa “macho dan seksi”, kerana itulah yang sering ditonjol selama ini sebagai pembangkang.

Namun “keseksian” itu kini disandang oleh pembangkang yang terdiri dari UMNO dan beberapa serpihan yang dilihat mati segan hidup tak mahu.

Saya memegang kata-kata bekas bos di Utusan Melayu yang pernah menyatakan menjadi pembangkang itu lebih mudah, seksi dan macho berbanding sebagai kerajaan.

Bagi saya itulah sebenarnya jawapan paling tepat atas kemenangan BN di Cameron Highland. Setelah lebur pada PRU lalu, kini UMNO dan BN baru benar-benar merasai detik-detik macho sebagai pembangkang.

Itulah resepi kejayaan Pakatan Harapan (PH) selama ini iaitu menjadi hero, pembela dan pelindung rakyat dan sentiasa dilihat tertindas pada pandangan mata umum.

Bagi mereka sewaktu menjadi pembangkang dahulu semua yang dilakukan kerajaan adalah tidak betul, zalim dan menindas.

Kalau boleh setiap hari nak dilakukan himpunan untuk menunjukkan mereka pembela rakyat yang terhimpit.

Trendy

Keluar masuk penjara adalah sesuatu trendy seperti mana Mat Sabu dan Tian Chua lakukan dan ia mendapat sokongan rakyat.

Cuba lihat balik selama menjadi pembangkang inilah pattern yang selalu dimainkan dan akhirnya rakyat berasa simpati pada mereka dan diangkat sebagai wira yang membela rakyat selain di manipulasi semua kebaikan yang dilakukan kerajaan.

Pada hal yang bertungkus lumus berjuang dan membantu rakyat adalah kerajaan yang memerintah selama 60 tahun tetapi kerana manipulasi dan persepsi, segala kebaikan yang dinikmati terhapus begitu saja.

Dan sekarang apabila jadi kerajaan barulah mereka ini sedar memang mudah untuk mengadu domba tetapi realiti sebenar adalah jauh dari soal menjadi hero dan keluar masuk penjara.

Ia tidak semudah melancarkan himpunan seperti Bersih yang kini terpalit betapa tidak bersihnya kerajaan dalam PRK Cameron Highland.

Ia tidak semudah menjadi hero mendedah kelompongan kerajaan dan berjanji bulan dan bintang untuk mengubah sistem dan memperbaiki segala yang dikatakan kelemahan.

Lebih hebat lagi apabila menjulang ikon politik tertentu dan memutar belit fakta dan kenyataan demi berita sensasi dan meraih simpati supaya rakyat terpengaruh dan tidak boleh membezakan antara realiti dan fantasi.

Kemenangan BN pada PRK Cameron Highland baru-baru ini adalah kerana mereka sedar diri sebagai pembangkang. Apa lagi yang tinggal bagi BN selain benar-benar bertindak, berfikir dan bermimpi sebagai pembangkang.

Persepsi pembangkang sentiasa dilihat pembela rakyat dan hidup mati demi rakyat. Tak percaya tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Datuk Seri Wan Azizah Ismail malah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semua yang dilakukan BN langsung dilihat gagal dan dedak semata-mata semasa menjadi kerajaan walhal isu yang menghimpit hanyalah 1MDB.

Namun biarlah mahkamah membuat keputusan tentang dakwaan itu yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya. Namun dalam sedar tak sedar Najib juga diangkat sebagai ikon yang dilihat ditindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Sehingga kini kerajaan PH masih terperangkap antara menjadi kerajaan dan dilema sebagai pembangkang sejak sekian lama. Apatah lagi banyak usaha dan dasar yang dicanang selama menjadi pembangkang kini mula memakan diri sendiri.

Banyak janji manifesto yang indah dan muluk bunyinya baru kini mereka sedar ia tidak seindah yang disangka.

Realitinya, mereka kini bukan lagi pembangkang dan rakyat melihat dan menilai banyak dasar dibuat kerajaan sebelum ini hanya disalin kulit atau ditukar nama dan diteruskan tanpa sebarang rasa malu.

Cabaran utama Dr. Mahathir kini, beliau mentadbir kerajaan ketika media sosial sangat berpengaruh dan begitu menguasai manusia setiap saat.

Rakyat kini berbeza semasa 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri kerana mereka semakin lantang bersuara serta berani mengkritik tanpa peduli siapa.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana DAP paling berkuasa dan kedudukan Islam dan orang Melayu dilihat semakin goyah.

Maka tidak menghairankan rakyat semakin memilih untuk bersama pembangkang yang dirasakan berani, kritis dan pembela, sesuatu yang dilihat dekat dengan sifat semulajadi seorang hero.

Harapnya BN berjuanglah demi rakyat dan jangan sesekali berjanji bulan dan bintang.

Berhentilah jadi katak dan sedar dan hadamkan bahawa pembangkang itu hakikatnya macho dan seksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN